Bismillahirrahmanirrahim. Lillah taala.
Alhamdulillah.
Tidak terucap dengan perkataan betapa bersyukurnya saya dan keluarga tersayang diberikan peluang oleh Allah SWT untuk menjadi tetamuNya di Baitullahil Haram dan mengunjungi pusara kekasihNya Nabi Muhammad SAW di Masjid Nabawi, Madinah Al-Munawwarah.
Telah menjadi impian bagi setiap kaum muslimin yang berkemampuan untuk menunaikan haji dan umrah di tanah suci Mekah Al-Mukarramah. Apatah lagi terbayang kebesaran dan keindahan Kaabah iaitu kiblat umat Islam seantero dunia di kaca TV atau melihat gambar rakan-rakan yang pernah pergi. Namun, tidak semua berpeluang untuk menjadi tetamu Allah SWT.
Benarlah seperti kata sahabat saya:
Bukan semua orang yang bertuah dijemput untuk menjadi tetamu Allah SWT. Ianya adalah insan terpilih yang dijemput oleh Ilahi. Kalau kita ada banyak duit, mungkin kita tiada masa atau tubuh sakit. Kalau tubuh kita sihat pula duit mungkin menjadi kekangan. Teruskanlah berdoa agar dijemput untuk menjadi tetamu Allah dan dikurniakan haji/umrah yang mabrur.
Saya dan suami juga tidak pernah terfikir untuk menunaikan umrah apatah lagi bersama-sama anak-anak dan ibubapa sebelum ini. Lebih-lebih lagi sebelum dipertemukan dengan Shaklee. Biasanya wang yang disimpan akan digunakan untuk keperluan yang lebih mendesak. Lalu, prioriti untuk menunaikan umrah dan haji semakin lama, semakin ditolak ke bawah. Astagfirullah! Sebab itu saya dan suami sentiasa mengingatkan diri sendiri, apabila bisnes Shaklee semakin berkembang maju , prioriti kami adalah untuk mengunjungi Baitullah al-Haram. Bermula dengan mencari gambar di google dan menampalnya dalam vision board kami seperti di bawah. Hari demi hari kami berdua membayangkan yang kami akan menjejakka kaki ke sana.
Setelah membuat keputusan bersama suami kami bercadang untuk menunaikan umrah pada hujung tahun 2014 bersama rakan-rakan dalam keluarga Shaklee kami. Dipendekkan cerita, atas beberapa perkara yang tidak dapat dielakkan, akhirnya kami sekeluarga sahaja yang meneruskan perancangan menunaikan umrah. Bak kata suami saya, kita dah buat keputusan untuk pergi. Tak elok untuk bertangguh-tangguh lagi. Lebih-lebih lagi laluan kami untuk menunaikan umrah ini dipermudahkan oleh Allah SWT. Rezeki kami dilapangkan dan lebih bermakna lagi bila disertai oleh anak-anak dan ibubapa serta adik suami.
Maka detik yang ditunggu-tunggu telah akhirnya tiba. Kami pergi dengan kelolaan Ukhuwah Harmoni Travel di bawah pimpinan Ustaz Haji Farid Eshak. Kembara kami bermula daripada 27 Disember 2014 sehingga 7 Januari 2015 iaitu lebih kurang 12 hari. 4 hari di Madinah Al-Munawwarah dan selebihnya di Mekah Al-Mukarramah.
Mengunjungi Makam Rasulullah SAW Di Masjid Nabawi
Mengunjungi makam Rasulullah SAW di Masjid Nabawi di Madinah benar-benar menyentuh perasaan kami. Terasa sayu dan terharu apabila dapat menziarah makam baginda. Sesungguhnya terasa Rasulullullah SAW sangat dekat dengan kita. Sang suami sangatlah beruntung kerana berpeluang untuk bersolat dan berdoa panjang di kawasan Raudhah iaitu antara kawasan mustajab apabila memohon hajat kepada Allah SWT. Bagi kaum hawa terpaksa berasak-asak dan akhirnya setelah beberapa kali mencuba untuk memasuki kawasan Raudhah saya dan adik ipar dapat juga peluang itu. Namun, ibu mertua saya setelah beberapa hari mencuba akhirnya akur mungkin tiada rezqi beliau kali ini dan ini juga petanda kami perlu kerap untuk menziarahi pusara Rasulullah SAW.
Bahkan menelusuri sirah Baginda dengan berkunjung ke Bukit Uhud juga mendatangkan seribu keinsafan betapa Islam pada hari ini ditegakkan dengan darah dan keringat para syuhada’ yang syahid. Betapa beruntungnya kita kerana dilahirkan sebagai seorang muslim dan semoga Allah SWT ganjarkan syurga buat kita di akhirat kelak.
Pada hari terakhir sebelum meninggalkan Madinah. Kami mengunjungi pusara Rasulullah SAW buat kali terakhir mengucapkan salam pada Baginda dan bersaksi bahawa kami ini adalah umat Muhammad SAW dan mengharapkan syafaat dari Rasulullah SAW di akhirat kelak. Ya Allah sebaknya hati sehingga menitiskan air mata ketika melambaikan salam buat kali terakhir kepada makam baginda.
Jika diizinkan Allah, kami akan datang lagi ya Rasulullah!
Ketenangan Jiwa Di Masjidil Haram
Usai kembara ziarah kami ke kota Madinah. Maka pada hari itu juga kami menuju ke Masjid Bir Ali untuk berniat ihram dan umrah. Perasaan sangat bergemuruh dan berdebar-debar kerana inilah detik yang ditunggu-tunggu sepanjang usia. Tetapi debaran si suami lebih lagi kerana pertama kali akan mengenakan pakaian ihram. Setelah selesai berniat dan menunai solat sunat ihram di Masjid Bir Ali lalu kami meneruskan perjalanan kira-kira 7 jam menuju ke Mekah.
Sepanjang dalam bas, hati saya dan suami berdebar-debar menantikan detik untuk melihat Kaabah buat pertama kali dalam hidup kami di depan mata. Sambil mengikut bacaan talbiah yang dipimpin oleh Ustaz Farid Eshak, dalam termangu, Tuhan sahaja yang tahu betapa gemuruhnya menantikan saat-saat itu.
Lebih kurang jam 9 malam kami sampai ke Jawharat Al-Falah, hotel tempat kami menginap sepanjang di Mekah iaitu kira-kira 300 meter dari Masjidil Haram. Setelah selesai makan malam, ustaz Fared mengarahkan untuk berkumpul bagi menunaikan tawaf wajib pada pukul 10 malam. Maka, berjalanlah kami menuju ke Masjidil Haram secara berjemaah.
Pertama kali melihat Kaabah besar di depan mata, hati kecil saya ini sangat-sangat tersentuh. Sangat tak percaya yang saya kini berada di depan kiblat umat Islam seluruh di dunia. Tanpa disedari ketika mata tertumpu pada Kaabah sambil bertawaf airmata mengalir. Terasa diri ini begitu kerdil sekali di sisiNya. Betapa bertuahnya diri ini berpeluang melihat Kaabah dari dekat. Terbayang-bayang Visionboard yang kami buat tampal gambar depan kaabah guna gambar orang lain. Allah SWT makbulkan doa kami.
Alhamdulillah. Alhamdulillah. Tak putus-putus kami mengucapkan syukur pada nikmat dan rezqi yang Allah kurniakan buat keluarga kami. Di saat orang lain sedang menyambut tahun baru detik 12 malam di Malaysia, tahun ini kami menyambut dengan melakukan tawaf di depan Kaabah. Tiada yang lebih baik dari itu untuk memulakan tahun baru dan simbolik kepada penghijrahan yang sebenarnya.
Sepanjang berada di tanah suci Mekah. Hati berasa sangat tenang. Badan terasa sangat ringan untuk bangun beribadat. Kalau sebelum ini, pada kebiasannya fikiran berserabut memikirkan masalah dunia tetapi di sana fokus kita hanyalah untuk beribadah kepada Allah SWT. Anak-anak juga memang sangat ‘behave’. Allah SWT permudahkan. Ilyas tak meragam. Kakak Aisha melakukan tawaf dan sai’e tanpa merungut penat.
Walaupun kami sekeluarga cuma berada selama 12 hari sahaja di tanah Suci. Namun banyak pengalaman dan pengajaran sama ada pahit dan manis. Namun, setiap perkara yang itu sebenarnya adalah sekadar ujian dari Allah SWT yang ingin menguji sejauh mana keimanan hambaNya. Antara pengalaman yang saya ‘observe’ adalah pelbagai ragam manusia yang hadir di sana. Bayangkan yang datang dari serata ceruk. Tentulah perangainya pun macam-macam. Ada yang datang berkerusi roda. Ada yang merangkak. Ada yang sihat walafiat. Ada yang bergantung pada orang lain untuk bergerak. Betapa Allah SWT maha Besar ingin menunjukkan setiap satu perkara yang berlaku itu pasti ada hikmahnya. Betapa kemahuan untuk mengunjungi Baitullah itu mengatasi segala kepayahan.
Kita sangat beruntung sebenarnya kerana jemaah Malaysia sangat diraikan di sini. Pengurusan haji dan umrah untuk jemaah negara kita juga baik dan tersusun jika nak dibandingkan dengan negara lain. Anda akan tahu sendiri jika anda pergi nanti.
Saya sangat kagum dengan para jemaah yang datang membawa ayah dan ibu serta ahli keluarga yang uzur demi untuk menunaikan hajat mereka mengerjakan umrah. Bersyukurnya saya dengan kesihatan yang Allah berikan serta kesempatan di usia yang muda untuk mengerjakan umrah. Tambahan pula berpeluang membawa Aisha Humaira dan Ilyas Ansari serta bayi dalam kandungan pergi bersama.
Dalam doa saya. Tak putus-putus mendoakan agar adik-beradik, sahabat-sahabat dan tuan-puan yang membaca entri saya ini diberikan kesempatan untuk menjadi tetamu Allah SWT dalam masa yang terdekat.
Bila selamat sampai ke tanah air selepas meninggalkan kota Suci Mekah, sesungguhnya hati ini benar-benar rindu untuk kembali ke rumah-Mu. Rindukan keseronokan beribadat disana. Ketenangan jiwa yang tak digambarkan. Sesungguhnya ketenangan yang sangat luar biasa.
Semoga Allah SWT melapangkan rezqi kami sekeluarga, diberikan kesihatan tubuh badan agar kami sekeluarga dapat menjadi tetamu-Mu pada setiap tahun.
Aamiin. Aamiiin. Aamiiin.
bestnyaaa dilottt… terharu la….
pengalaman gi umrah masa single.. mmg kelakar.. masa tu mmg single lagi.. umur dah 26 tahun..
makcik2 mssa tu masa kt jabal rahmah beriya2 dok pi panjat kasi cepat nk kahwin..
mmg masa tu umrah masa bulan rejab… syaaban … 15 ramadhan kenal suami… raya haji kami kahwin.. hahah ekspress rakyat..
Alhamdulillah..smoga kami juga dimurahn rzki utk ke sna..
Tersentuh bace nukilan ini, terima kasih doakan kami, kami sedang berusaha menuju rumah Allah jua
Semoga Allah berkenan dan mudahkan usaha kami aminnn…
Bismillah,
Ya Allah syukur alhamdulillah bersyukur dapat merasai apa yang bonda rasakan. Berkunjung ke rumah Allah dengan ibu, bapa, anak-anak serta baby dalam kandungan.
Alhamdulillah.
InsyaAllah, moga saya sekeluarga di permudahkan urusan ke sana juga menunaikan Haji dan Umrah.
Amin.
Terima kasih atas doa bonda untuk kami. Moga kami dapat menjadi tetamu istimewaNYA dalam masa terdekat..& tahniah atas kandungan, jaga diri & baby baik-baik ya..:)
Terima kasih semua sudi baca 🙂
Setiap kali saya tengok gambar-gambar di sana, hati selalu sebak.
Rasa rindu sangat nak pergi lagi. Memang proses penyucian jiwa bila kita ada di sana.